Pengujian, Pengukuran dan Penilaian



PENGUJIAN, PENGUKURAN & PENILAIAN


PENGENALAN

Dalam menempuh kehidupan seharian, kita seringkali berhadapan dengan apa yang dikatakan sebagai pengujian, pengukuran dan penilaian dalam semua keadaan  yang memerlukan kita membuat sesuatu pertimbangan atau keputusan. Guru perlu membuat pertimbangan atau keputusan berhubung dengan pelajar dalam bilik darjah kendaliannya tentang pengajaran dan pembelajaran  yang berlangsung. Apakah telah mencapai objektif yang telah ditetapkan atau memerlukan tindakan pengulangan semula dan sebagainya.

Pengujian, pengukuran dan penilaian adalah antara beberapa konsep penting dalam dunia pendidikan. Sering kali istilah ini bertukar ganti digunakan. Misalnya, sesetengah guru  apabila mengedarkan kertas ujian, mereka mungkin mengatakan  mereka mengukur  prestasi pelajar atau menilai prestasi pelajar dalam sesebuah bilik darjah tanpa mengambil hirau maksud sebenar atau maksud khusus yang mendukung istilah berkenaan. Secara khususnya, ketiga-tiga istilah berkenaan mempunyai  makna yang lebih spesifik dan ketiga-tiganya mempunyai perbezaan.

Dalam dunia pendidikan, penilaian yang sistematik, dengan mengambil kira semua faktor yang boleh mempengaruhi maklumat atau dapatan yang diperolehi akan membantu guru dalam membuat sebarang keputusan yang tepat.

1.1    KONSEP PENGUJIAN, PENGUKURAN DAN  PENILAIAN

Sebagai insan yang hidup di muka bumi ini, kita tidak lari dalam membuat keputusan. Dalam membuat sebarang keputusan tersebut sama ada mudah atau sukar, penilaian  wajar dilakukan terlebih dahulu. Dalam konteks ini penilaian yang dijalankan melibatkan penentuan objektif, mendapat maklumat, memproses maklumat dan membuat kesimpulan serta keputusan. Apabila proses yang dijalankan itu dijalankan secara sistematik  dan saintifik, maka keputusan yang diperolehi lebih tepat dan seterusnya tindakan yang diambil benar-benar bersesuaian.

Sebenarnya aktiviti penilaian dalam bidang sains perlakuan, sains kemasyarakatan bermula dengan percubaan kajian yang dijalankan oleh Galton dan Binet dengan mengukur kebolehan individu. Bermula dengan kajian tersebut, konsep penilaian  telah berkembang sehingga muncul beberapa istilah yang berkaitan seperti  pengukuran (measurement), penilaian (evaluation) dan  pentaksiran (assessment). Dalam pengukuran, individu didedahkan kepada pemboleh ubah yang sama dalam keadaan terkawal. Sebagai contoh pengukuran yang dijalankan bagi menguji kecerdasan kanak-kanak melalui ujian oleh Stanford-Binet, Raven-Matrices, Weschler dan A.C.E.R.


Apabila sesuatu penilaian ingin dijalankan, sekurang-kurangnya dua keputusan  yang utama  perlu diambil. Pertama, berkaitan dengan sebab ataupun tujuan penilaian dijalankan. Misalnya ingin  taraf bacaan  murid di sekolah rendah dengan berpendapat  taraf bacaan  itu sudah tidak memuaskan  dan satu tindakan yang baru perlu diambil. Kedua, berkait dengan pemilihan model, alat-alat prosedur menjalankan dan cara penganalisisan. Seseorang penilai akan memilih  model yang dirasai dapat memberikan maklumat yang lengkap kepadanya.

Penilaian adalah konsep yang telah digunakan dalam pelbagai bidang. Penilaian dilakukan kerana mempunyai matlamat tersendiri. Dengan mengadakan penilaian akan membolehkan  anggaran dapat dibuat  sama ada matlamat yang telah ditetapkan itu tercapai atau sebaliknya. Penilaian juga dapat dianggap sebagai satu cara mendapatkan bukti  yang tepat tentang sesuatu. Maklumat dan bukti ini amat penting dalam menyelesaikan sebarang masalah yang timbul. Misalnya  dalam pendidikan,  masalah yang dapat diselesaikan ialah pencapaian sesuatu matlamat yang ditetapkan seperti  menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) kepada murid sekolah rendah.

Dalam membuat penilaian  anda mungkin  sering kali berhadapan dengan pelbagai masalah. Misalnya tentang persoalan yang ingin diselesaikan, apakah bukti yang mencukupi atau bagaimana cara mendapatkan maklumat, siapa yang perlu mendapatkan maklumat dan sebagainya. Dengan memahami konsep pengujian, pengukuran dan penilaian anda  akan dapat merancang  langkah-langkah dengan lebih teratur dan sistematik bagi mendapatkan maklumat yang tepat.


Apakah maksud pengujian?

Antara ketiga-tiga istilah berkenaan, pengujian  selalunya dianggap mendukung maksud yang lebih sempit atau khusus. Pengujian  dapat dianggar   sebagai proses penyerahan set soalan yang standard yang perlu dijawab, atau satu set instrumen atau satu prosedur  yang sistematik  bagi mengukur sampel  tingkah laku  atau perubahan seseorang individu atau pelajar.

Menurut Cronbach (1970), ujian  ialah satu prosedur yang sistematik  untuk memerhati  perlakuan atau tingkah laku seseorang individu  dan menghuraikan  dengan bantuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori. Misalnya, skala bernombor seperti angka 30/100 untuk  ujian penglihatan, 100 untuk ujian darjah kecerdasan (IQ Test)  dan 80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains. Manakala contoh sistem berkategori pula seperti ¡®ekstrovert¡¯ atau ¡®introvert¡¯ bagi ujian personaliti, atau rabun warna bagi ujian penglihatan.

Kepentingan  pengujian  bagi mengukur perubahan tingkah laku  pelajar seperti yang dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros (1981) seperti yang dipetik dalam Raminah Haji Sabran (1991)  yang menegaskan bahawa:


Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan  yang diperlihatkan oleh murid  di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperolehi daripadanya  akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan. (Raminah 1991:2)

Hasil daripada  jawapan yang diberikan yang diberikan oleh pelajar, satu ukuran  yang disebut sebagai  markat akan diberikan kepada individu berkenaan. Pengujian menjelaskan keadaan berapa baguskah prestasi murid yang diuji.

Proses  pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti  pelaksanaan  (pentadbiran ujian) dan berakhir dengan  pemeriksaan skrip jawapan. Melalui proses pengujian inilah seseorang guru dapat  mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya  telah menguasai sebanyak mana kemahiran yang telah dipelajari.

Apakah yang dimaksudkan pengukuran?

Pengukuran  membawa maksud yang lebih luas berbanding dengan pengujian. Pengukuran membawa definisi sebagai suatu proses mendapatkan  penjelasan secara numerik atau melalui angka tentang sebanyak mana individu atau murid mempunyai sesuatu ciri yang diukur dengan menggunakan instrumen. Atau dalam erti kata lain langkah menentukan  tahap sejauh mana seseorang individu  memiliki sifat-sifat tertentu.

Biasanya kita mewakilkan  sesuatu indeks  berbentuk angka  kepada prestasi seseorang individu supaya status individu berkenaan lebih tepat dan dapat mewakili  sifat tertentu. Misalnya, Ramli mendapat markah 60 peratus  dalam ujian Matematik. Kita tidak menyatakan prestasi Ramli berkenaan sama ada baik atau sebaliknya. Dalam hal ini, kita hanya mengukur tanpa menentukan nilai. Justeru, pengukuran adalah hanya penentuan status atau tahap.

Pengukuran boleh dilaksanakan tanpa pengujian. Sebagai contoh, proses mendapatkan maklumat berbentuk kuantitatif  menggunakan proses pencerapan atau penggunaan skala pemeringkatan. Berbeza dengan pengujian yang ingin mendapatkan maklumat sebanyak mana prestasi yang diperolehi, pengukuran pula menjurus kepada banyak mana skor  atau markat yang diperolehi  dengan menggunakan proses tertentu.

Seperti pengujian, pengukuran juga tidak bersifat mutlak. Pengukuran ketinggian mental seseorang individu sudah tentu lebih sukar dan tidak dapat dilakukan dengan tepat berbanding pengukuran ketinggian fizikal seseorang  individu menggunakan  alat ukur yang tepat  seperti penggunaan pembaris. Misalnya, seseorang murid yang  mendapat skor 90 tidak boleh dianggap  mengetahui dua kali ganda murid yang mendapat skor 45 walaupun skor 90 itu  dua kali angka 45. Manakala  seseorang yang mendapat skor sifar pula tidak juga boleh dianggap sebagai  tidak mempelajari sebarang  perkara atau tidak memahami sebarang perkara tentang sesuatu pelajaran yang dilalui. Ini jelas menunjukkan pengukuran aspek berkenaan bukanlah petunjuk yang tepat sebagaimana mengukur ketinggian  murid menggunakan kayu ukur atau pembaris.
 Dengan itu, seseorang guru harus menggunakan instrumen yang tepat bagi menghasilkan keputusan yang tepat. Jika instrumen yang digunakan mempunyai kecacatan, maka sudah pastilah hasil yang diperolehi daripada ukuran yang dijalankan itu juga tidak tepat.

Apakah yang dimaksudkan penilaian?

Penilaian  ada suatu istilah yang boleh didefinisikan  dengan banyak cara. Menilai boleh dianggap sebagai proses membuat pertimbangan atau membuat keputusan dalam memberikan nilai mutu, kualiti, harga bagi sesuatu benda atau perkara.  Stufflebeam et al. (1971:xxv) menyatakan penilaian sebagai  ¡°the process of delineating, obtaining, and providing useful information for judging decision alternatives¡±. Definisi ini  menjangkau melepasi daripada maksud pengujian dan pengukuran.

Gay (1985) berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses yang dianggap sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data  bagi menentukan  sama ada  sesuatu objektif  yang telah ditetapkan itu telah tercapai. Hal ini seterusnya bagi membolehkan guru dapat membuat pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran. Ini berbeza dengan pengukuran yang melibatkan pemberian nombor-nombor (numeric) tertentu yang lebih bersifat kuantitatif.

Terdahulu daripada itu, Popham (1975) menafsirkan penilaian yang sistematik  mestilah mengandungi satu tafsiran yang formal  tentang nilai fenomena pendidikan. Secara menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek seperti hasil pengajaran, program pengajaran dan matlamat ke arah  usaha pengajaran itu ditentukan. Dalam sesuatu bilik darjah, apabila guru memberikan ujian, adakah guru berkenaan mengukur pencapaian pelajar atau guru menilai  pencapaian pelajar. Dalam keadaan ini kita boleh mengatakan bahawa  guru sebenarnya mengukur pencapaian pelajar melalui  ujian yang dijalankan. Tindakan susulan yang dilakukan guru dengan menggunakan keputusan ujian itu berserta maklumat lain yang berkaitan untuk menilai  prestasi murid berkenaan. Dalam sesetengah keadaan penilaian dibuat tanpa sebarang pengukuran yang melibatkan ujian terlebih dahulu; tetapi hanya melibatkan pertimbangan nilai semata-mata.

Dengan itu menunjukkan bahawa penilaian boleh dijalankan  dengan menggunakan maklumat atau data yang berbentuk kuantitatif atau data berbentuk kualitatif atau melibatkan kedua-duanya sekali. Secara kuantitatif, maklumat yang diperolehi melalui penilaian dinyatakan  dalam bentuk angka dan maklumat ini boleh disusun, dikemaskinikan serta diringkaskan  dalam kaedah  yang lebih mudah difahami. Manakala secara kualitatif pula, maklumat yang dapat dinyatakan atau dihuraikan tanpa menggunakan nombor-nombor. Misalnya Ali menyelesaikan tugas yang diberikan oleh guru dengan bersih.

Secara ringkasnya, prosedur penilaian penilaian mengandungi aspek pengujian, pengukuran, penganalisisan serta merumuskan data yang diperolehi. Prosedur penilaian boleh dilaksanakan dalam lima peringkat seperti  dalam rajah di bawah:

Dalam konteks sekarang istilah pentaksiran mula digunakan dalam membuat penilaian. Popham (2000) berpendapat istilah pengukuran, pengujian dan penaksiran digunakan silih berganti dan dianggap sebagai sinonim.  Pentaksiran melibatkan proses membuat keputusan berdasarkan kepada suatu peraturan atau piawaian. Pentaksiran merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran. Dalam konteks pendidikan juga pentaksiran dianggap sebagai suatu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemahkan  maklumat tentang pembelajaran seseorang murid bagi sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2000). Hasil pentaksiran dinyatakan dalam bentuk skor. Skor mestilah sah dan boleh dipercayai untuk memastikan keadilan kepada murid serta mengekalkan kewibawaan institusi pentaksiran.

Kesimpulannya, dasar penting bagi pencapaian pengajaran dan pembelajaran yang berkesan adalah melalui langkah-langkah pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat dan berkesan dijalankan oleh guru di bilik darjah. Justeru, kecekapan guru dalam membangunkan instrumen pengujian  dan penilaian amat penting  malah sama pentingnya  dengan penguasaan guru terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.


 1.2    ARAS UKURAN

Secara umumnya, terdapat  pelbagai bentuk  system pengukuran yang berbeza. Misalnya, pengukuran yang digunakan untuk mengukur pencapaian akademik pelajar adalah berbeza dengan pengukuran yang digunakan untuk mengetahui tahap apresiasi agama pelajar. Begitu juga  membuat pengelasan darjah motivasi  sebagai bermotivasi tinggi, sederhana atau rendah tidaklah setepat  dengan pengukuran yang menggunakan skor  sebenar motivasi pelajar. Penyataan dan pengkelasan  kuantitatif  pemboleh ubah ini  melibatkan system dan proses pengukuran yang menggunakan skala tertentu.  Pada umumnya terdapat dua jenis pemboleh ubah asas dalam pengukuran iaitu: (i) Jenis kuantitatif dan (ii) Jenis kategori. Kedua-dua  jenis tersebut  boleh diukur dengan menggunakan  empat jenis skala  yang biasa digunakan, iaitu skala nominal, ordinal, sela dan nisbah.

1.2.1 Skala Nominal

Skala nominal  ialah skala yang dianggap paling mudah  dan mempunyai ketepatan yang paling rendah  sebagai bentuk pengukuran. Skala ini mengkategorikan  pemboleh ubah berdasarkan  persamaan  dan seterusnya memberikan  nama kepada  pemboleh ubah berkenaan. Misalnya, guru ingin mengelaskan kategori murid-murid mengikut kumpulan etnik atau mengelompokkan murid mengikut kumpulan jantina. Guru berkenaan perlu  meletakkan nilai tertentu kepada setiap pemboleh ubah tersebut sebagai mewakili  kumpulan berkenaan. Misalnya, etnik Melayu diwakili nombor 1, Cina diwakili nombor 2, India nombor 3 dan nombor 4 bagi  etnik yang lain. Nombor  I dalam sistem ini tidaklah menunjukkan bilangan yang kecil jika dibandingkan dengan nombor 2,3 dan 4. kita boleh menukargantikan nombor berkenaan kepada kategori yang lain. Misalnya, 4 untuk Melayu, 3 untuk Cina, 2 untuk India dan 1 untuk lain-lain etnik.

Nombor yang diberikan itu hanyalah mewakili atau melambangkan  sesuatu pemboleh ubah yang dinyatakan. Apabila nombor yang digunakan untuk melambangkan orang atau objek dan nombor ini sebenarnya tidak  mempunyai  sebarang hubungan dalaman antara satu sama lain dari segi nilai. Ini disebut sebagai skala nominal.

Tiga ciri utama skala nominal, iaitu:

i.         Setiap data hanya dimiliki oleh satu kategori sahaja. Individu yang berada dalam kelompok Melayu tidak boleh menjadi individu dalam kelompok betnik yang lain.
ii.        Kategori atau nombor yang mewakili setiap data tidak mempunyai susunan pemeringkatan data tetapi dianggap sebagai setara.
iii.       Perubahan data asal kepada data nominal atau kategori bersifat satu sama satu.

1.2.2 Skala Ordinal

Pengukuran bersifat ordinal pula ialah data yang menunjukkan urutan atau pangkat. Data disusun sama ada daripada  yang rendah kepada  yang tinggi atau daripada  yang lemah kepada yang  cemerlang. Nombor atau kategori yang digunakan menggambarkan maklumat asal pemboleh ubah yang menunjukkan susunan daripada kecil kepada yang besar atau daripada kategori yang baik kepada  kategori yang lebih baik. Misalnya, nombor 1, 2, 3, 4 yang menunjukkan pangkatan atau kedudukan pelajar dalam bilik darjah adalah contoh skala ordinal. Pelajar yang mendapat markat keseluruhan yang tinggi diberikan  nombor 1, diikuti norbor 2, 3, 4 dan seterusnya. Ini menunjukkan nombor 1 adalah lebih baik daripada nombor 2, 3 4 dan berikutnya. Pada umumnya skala ordinal hanya  mampu  membezakan kategori dan nilai susunan secara pemeringkatan. Contoh lain skala ordinal seperti skala Likert.

Ciri-ciri utama skala ordinal seperti berikut:

i.         kategori yang digunakan bagi mengelaskan data bersifat saling eksklusif.
ii.       Data yang digunakan menunjukkan pemeringkatan secara logik.
iii.      Data mempunyai pemberat. Setiap kategori  mempunyai pemberatan yang lebih berbanding kategori yang lain.

1.2.3 Skala Sela

skala ketiga ialah skala jenis sela. Data jenis ini mempunyai urutan atau pangkat serta anggapan bahawa perbezaan antara sela wujud. Setiap skala berkenaan mempunyai jarak yang sama. Skala ini berupaya  menunjukkan perbezaan  antara beberapa kategori dan ia boleh menunjukkan  kesamaan dalam unit pengukuran  yang digunakan. Contoh pengukuran skala sela ialah pengukuran suhu. Misalnya perbezaan darjah suhu antara 25¢ªC  dengan 35¢ªC  adalah sama dengan perbezaan darjah suhu antara  15¢ªC hingga 25¢ªC. Kedua-dua perbezaan berkenaan menunjukkan  perbezaan 10¢ª.

Skala sela memberikan sela yang sama daripada titik origin yang sewenang-wenangnya. Ini bermaksud  skala sela mempunyai ciri-ciri nominal dan ordinal, terutamanya ciri-ciri aspek pangkatan. Jarak numerik yang sama di atas skala sela menggambarkan jarak yang sama pada ciri-ciri yang diukur.

Contoh lain, andai kata  terdapat enam orang pelajar yang diukur pencapaiannya pada skala sela, maka perbezaan pencapaian antara pelajar  A dengan C adalah sama dengan  F dan  D. walau bagaimanapun kita tidak boleh menyatakan pencapaian F dua kali lebih baik daripada D. hal ini disebabkan bukan kuantiti yang ditambah atau ditolak, tetapi  perkiraan adalah berdasarkan selak atau jarak tersebut.

Dalam skala sela, nilai kosong (O) atau sifar adalah merupakan suatu nilai. Nilai O adalah suatu yang arbitrari dan  tidak menggambarkan  bahawa ciri kuantiti sebagai kosong  atau tidak ada nilai secara mutlak. Misalnya, suhu O¢ªC mempunyai nilai permulaan sistem pengukuran suhu. Suhu O¢ª C  di sini masih membawa makna suhu masih boleh turun di bawah takat tersebut dan bukan  bermakna tidak ada darjah kepanasan.

Ciri-ciri skala sela adalah seperti berikut:

i.         kategori yang digunakan bagi mengelaskan data sela bersifat  saling eksklusif.
ii.        Data yang digunakan menggambarkan susunan pemeringkatan secara logik.
iii.       Nilai atau skor yang digunakan mempunyai pemberat. Satu nilai dikatakan lebih besar atau lebih kecil daripada lainnya.
iv.       Nilai dalam skala sela adalah arbitrari. Nilai O adalah satu bentuk nilai dalam skala jenis ini.
v.       Persamaan perbezaan digambarkan dalam nilai nombor yang digunakan bagi menggambarkan perbezaan.

1.2.4 Skala Nisbah

Skala  keempat ialah skala nisbah. Skala ini mempunyai semua sifat jenis sela dan mempunyai mutlak nilai kosong. Dalam skala nisbah nilai kosong  tidak bersifat arbitrari. Misalnya perbezaan antara  30 hingga 60 adalah sama dengan perbezaan 60 hingga 90. malah kita boleh mengatakan 90 adalah dua kali ganda 45 (2 X 45 = 90). Nombor dalam skala nisbah ini menunjukkan jumlah atau ciri sebenar yang diukur. Contoh skala nisbah seperti umur, ketinggian dan jarak.
Pengukuran tingkah laku dalam bidang psikologi kadang kala agak sukar  dibuat garisan antara  data jenis  ordinal dan sela. Misalnya dalam ukuran data yang menggunakan skala Likert, anggapan yang keterlaluan ialah data ini tergolong dalam data jenis ordinal. Apabila hanya menganggap skala ini terhad kepada  berbentuk ordinal akan menyebabkan pengehadan kepada analisis data yang dapat dibuat. Analisis data begini tidak dapat menggunakan analisis varians bagi membandingkan nilai min kumpulan.

Kesimpulannya, setiap jenis skala mempunyai maklumat yang berbeza. Skala nisbah memberikan  sejumlah maklumat yang lebih banyak daripada skala sela. Skala sela pula dapat memberikan maklumat yang lebih daripada skala ordinal. Begitu juga dengan skala ordinal lebih memberikan maklumat daripada skala nominal. Penyusunan data akan mempengaruhi  jenis analisis statistik yang bakal dijalankan. Perhubungan atau hierarki keempat-empat skala ukuran  dapat ditunjukkan dalam  rajah di bawah.


TUJUAN PENILAIAN DI BILIK DARJAH

Penilaian dan pengujian dalam sesi pengajaran dan pembelajaran adalah sama pentingnya  dengan proses pengajaran. Matlamat utama penilaian dijalankan ialah untuk meningkatkan atau memperbaiki  pembelajaran. Sekiranya ditinjau dari aspek yang lebih luas, penilaian yang dijalankan memberi manfaat besar  kepada guru pelajar serta ibu bapa  malah  kepada pihak sekolah serta kementerian sendiri apabila memberikan maklumat yang tepat dan berkesan.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, hasil penilaian dan pengujian yang dijalankan dapat dijadikan asa kepada guru untuk membuat keputusan berhubung dengan aktiviti  pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Sepanjang guru mengajar, beliau akan menggunakan maklumat yang diperolehi bagi membuat keputusan yang perlu bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Bagi memudahkan pemahaman anda, tujuan atau kepentingan penilaian dalam pendidikan khususnya dalam bilik darjah ini dijelaskan kepada beberapa tujuan seperti untuk tujuan diagnosis, melihat pencapaian, membuat pemilihan, menempatkan serta memberikan bimbingan kaunseling kepada pelajar.




PENTAKSIRAN, PENGUKURAN, PENILAIAN & PEPERIKSAAN

PENTAKSIRAN

Pentaksiran ialah integrasi proses mengumpul maklumat, menginterpretasi maklumat atau memberi nilai kepada maklumat itu dan membuat keputusan berdasarkan interpretasi yang dibuat ke atas maklumat.  Apabila keputusan dibuat berdasarkan nilai atau interpretasi maklumat, proses yang berlaku daripada mengumpul maklumat sehingga membuat keputusan dipanggil pentaksiran.


PENGUKURAN

Pengukuran ialah proses mendapatkan maklumat dengan cara mengukur menggunakan instrumen sebelum ukuran itu dapat dinilai atau diinterpretasikan. Proses pengukuran berakhir dengan maklumat berbentuk kuantitatif seperti markah mentah, peratus markah mentah,  peratusan kedudukan seseorang berbanding kedudukan orang lain, agregat dan pangkat atau band.

Ukuran boleh didapati sama ada dengan menggunakan instrumen atau pun tidak. Instrumen atau alat pengukuran pendidikan yang biasa digunakan ialah ujian, soal selidik, kuiz dan senarai semak. Ukuran  yang diperoleh tanpa penggunaan instrumen tentunya kurang tepat dan kurang boleh dipercayai kerana seringkali berubah-ubah mengikut masa, mengikut orang yang mentaksir dan mengikut keadaan.

PENILAIAN

Penilaian ialah proses mendapatkan maklumat tentang sesuatu diikuti dengan proses memberi nilai atau interpretasi kepada maklumat tersebut. Berbeza dengan  pengukuran, maklumat yang diperoleh daripada penilaian boleh jadi berbentuk kuantitatif atau kualitatif.

Maklumat kualitatif dalam penilaian adalah seperti ”Baik”, ”Cemerlang”, ”Menguasai tahap pencapaian minimum” dan ”Boleh membaca dengan kefahaman yang tinggi”. Maklumat  kualitatif dalam penilaian boleh jadi nilaian atau interpretasi kepada maklumat kuantitatif.

Proses penilaian terhad setakat memberi nilai atau interpretasi tanpa membuat keputusan seperti ”layak memasuki aliran Sains”.

Apabila keputusan dibuat berdasarkan nilai atau interpretasi maklumat, proses yang berlaku daripada mengumpul maklumat sehingga membuat keputusan dipanggil pentaksiran.

Dalam pendidikan, proses mengumpul maklumat, memberi nilai atau interpretasi kepada maklumat dan membuat keputusan boleh berlaku secara formal atau tidak formal.

Proses pentaksiran, pengukuran dan penilaian  boleh berlaku secara timbal balik dan sepadu antara satu sama lain dan sepadu dengan proses pengajaran-pembelajaran.


PEPERIKSAAN

Peperiksaan  merupakan salah satu kaedah, sistem atau mekanisma yang digunakan dalam proses pentaksiran. Sesuatu peperiksaan selalunya mengandungi beberapa siri ujian yang terancang untuk mendapatkan ukuran tentang sejauh mana berkesannya proses pengajaran-pembelajaran.   

Ujian-ujian yang terdapat dalam sesuatu sistem peperiksaan boleh jadi ujian bertulis, ujian amali, ujian lisan, ujian pendengaran dan ujian berkomputer. Dengan ciri yang sedemikian, peperiksaan selalunya hanya sesuai diguna untuk mentaksir domain kognitif atau kebolehan mental seseorang.

Domain yang lain iaitu afektif dan psikomotor kurang sesuai ditaksir menggunakan kaedah peperiksaan.

Dengan demikian,, peperiksaan selalu dikatakan tidak lengkap kerana tidak memberi maklumat yang lebih holistik berkaitan dengan perkembangan dan peningkatan potensi individu seorang insan.

Hal-hal seperti sahsiah, akhlak, nilai murni, budi pekerti, penampilan diri, kekuatan jasmani, rohani, emosi dan sosial sukar atau tidak mungkin dapat ditaksir sepenuhnya menggunakan peperiksaan.

Peperiksaan juga seringkali dikaitkan dengan pentaksiran standard, berpusat, luaran, sumatif dan dikendalikan oleh badan peperiksaan. Kekangan ini  menyebabkan hal-hal yang berkaitan sahsiah, akhlak, nilai, rohani jasmani dan social  sukar atau tidak dapat dilakukan dengan kaedah peperiksaan.

Hal-hal tersebut lebih sesuai dilakukan melalui pentaksiran berasaskan sekolah, pentaksiran dalaman, pentaksiran formatif, pentaksiran alternatif, pentaksiran prestasi dan pentaksiran autentik.

Peperiksaan dikatakan menyebabkan anak-anak belajar dan guru-guru mengajar tidak seperti sepatutnya iaitu berdasarkan kurikulum dan sukatan pelajaran yang dibekalkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum tetapi mengikut peperiksaan.  




No comments:

Post a Comment